Kuasai seni persembahan tradisional
Mohd Asrul(kiri) banyak menimba ilmu bermain rebab daripada gurunya, Che Mat Jusoh
Masihkah anda ingat dengan watak Jaha daripada fi lem Budak Kelantan? Filem yang popular sekitar 2005 itu menyaksikan watak Jaha yang dilakonkan Mohd Asrul Faizal Kamaruzaman dihayati begitu baik sekali.

Walaupun belum pernah berlakon filem mahupun drama sebelum ini, namun Mohd Asrul mampu melakukannya sehingga ramai saudara-mara dan kenalan rapat terkejut dengan bakat terpendamnya itu.

Ketika penulis bertanyakan adakah jiwa dan minatnya itu terarah pada lakonan, Mohd Asrul dengan pantas mengatakan apa sahaja yang berkaitan dengan bidang seni, dia sememangnya teruja malah bidang seni seolah-olah ‘nyawa’ buat dirinya.

Namun kata anak kelahiran Kelantan itu, bidang seni lakon bukanlah minat utamanya walaupun dia pernah bergiat aktif dalam beberapa buah teater moden dan tradisional.

“Minat utama saya lebih terarah kepada seni persembahan tradisional seperti persembahan dikir barat, mak yong, seni silat tari dan beberapa persembahan tradisional yang lain.

“Mungkin disebabkan saya datang daripada keluarga berdarah seni (aktif seni silat dan mak yong), maka secara tidak langsung darah yang mengalir dalam badan saya pun adalah darah seni,” katanya.

Lulusan Sarjana Muda Seni Persembahan-Drama dari Universiti Malaya (UM) memberitahu, dirinya amat meminati seni persembahan tradisional sejak zaman kanak-kanak lagi.

Ceritanya, ketika tinggal di kampung banyak gelanggang silat ditubuhkan. Gelanggang berkenaan digunakan untuk mengajar muzik silat dan seni silat tari.

Pada masa itu juga meriah dengan persembahan dikir barat, mak yong dan juga main teri.

“Saya sering kali ke sana untuk melihat dan mengikuti apa yang mereka lakukan.

Hari demi hari aktiviti seni seperti itu meresap dalam diri.

“Ibu bapa pula tidak pernah menghalang rutin harian saya itu. Pesan mereka, jika apa yang dilakukan tidak mengganggu pembelajaran di sekolah, mereka akan terus menyokong 100 peratus,” ujarnya.

Bermain alat muzik

MOHD Asrul berkata, ketika di Sekolah Rendah Chicha Tinggi, Pasir Mas, Kelantan, dia sangat aktif dalam persembahan dikir barat, muzik silat dan sketsa.

Pantang ada pertandingan atau program membabitkan seni tradisional dia akan pastikan nama tersenarai dalam program berkenaan.

Ekoran minatnya dalam seni persembahan tradisional, Mohd Asrul semakin aktif membabitkan diri dalam bidang berkenaan ketika melangkah ke sekolah menengah.

“Walau aktif dalam seni, saya tetap tidak melupakan pelajaran kerana keluarga sering ingatkan sejauh mana seriusnya dalam bidang disukai tetapi jika gagal dalam pelajaran, hidupnya pasti tidak bermakna kelak,” katanya.

Dalam seni persembahan tradisional Mohd Asrul lebih meminati persembahan mak yong.

Katanya, dia mula belajar secara serius setelah berjumpa dengan seorang daripada tokoh mak yong iaitu Che Mat Jusoh.

“Beliau mempunyai kepakaran yang pelbagai dalam bidang mak yong terutamanya muzik mak yong. Beliau juga banyak membantu saya dalam memberi kefahaman berkenaan dengan cara nyanyian mak yong.

“Beliau juga mengingatkan pada saya bahawa cara nyanyian mak yong adalah tidak sama dengan nyanyian lagu moden.

Temponya agak berlainan dengan tempo lagu moden,” katanya.

Tambah jejaka ini, seseorang penyanyi mak yong perlu tahu bermain alat muzik mak yong agar mereka dapat menyanyi dengan betul dan selari dengan muzik yang dimainkan.

Selain meminati seni persembahan tradisional, bapa tiga anak itu juga mahir dalam penggunaan alat tradisional seperti rebab dan serunai.

Katanya, rebab dan serunai antara instrumen penting dalam persembahan tradisional Kelantan seperti wayang kulit, muzik silat, mak yong dan menora.

“Saya sangat tertarik pada instrumen tersebut kerana keunikannya dalam mengiringi sesebuah persembahan tradisional.

Sifat peralatan itu juga sangat berbeza dengan peralatan muzik moden.

“Untuk mempelajari instrumen tersebut, seseorang perlulah mempelajari instrumen lain juga seperti gendang, gong dan gedombak kerana kesemua peralatan muzik ini mempunyai kaitan yang sangat rapat dalam sesebuah persembahan tradisional,” ujarnya.

Mahir ukir

SELAIN berbakat menggunakan rebab dan serunai, Mohd Asrul juga mahir membuat ukiran kedua-dua alat tradisional tersebut.

Ujarnya, untuk membuat ukiran rebab dan serunai tidak memerlukan masa lama sebaliknya memerlukan ketajaman pendengaran bagi mendapatkan nada alat muzik itu.

“Untuk mempelajari seni ukiran tidaklah begitu susah, hanya memerlukan sedikit kesabaran dan ketekunan untuk mendapatkan hasil yang baik.

“Namun, pendengaran tajam diperlukan bagi mendapatkan nada bagi alat muzik, terutama serunai kerana seorang pengukir juga mestilah mempunyai kepakaran untuk memainkan
alatan itu,” katanya yang mempelajari ukiran alat muzik melalui pemerhatian dan kreativiti sendiri.

Menurut Mohd Asrul, pembuatan rebab dan serunai hanyalah untuk memenuhi masa lapang.

 Ini kerana komitmennya terhadap  kerjaya sebagai Pegawai Kebudayaan Pusat Kebudayaan UM yang miliki masa terhad.

“Mungkin ramai yang tak percaya bahawa saya suka belajar membuat apa jua perkara termasuk alat muzik dengan sendiri.

“Kita juga bebas untuk mencipta sesuatu ukiran pada instrumen jika kita sendiri yang membuatnya,” katanya yang pernah meraih anugerah Pelakon Pembantu Terbaik dalam Festival Teater Kebangsaan peringkat Wilayah Persekutuan pada 2008.

Walaupun sering kali mendapat pujian terhadap ukiran yang dihasilkan, Mohd Asrul tidak sesekali menjualnya kerana apa yang dibuat untuk kegunaan dan kepuasan sendiri.

Sementara itu, sepanjang menemu bual Mohd Asrul, penulis mendapati beliau seorang yang berjiwa seni.

Apabila ditanya mengenai sikapnya itu, pantas Asrul menjawab, “Ramai yang kata saya seorang yang kasar dari segi intonasi tutur kata dan itulah saya. Namun kasar tutur kata tidaklah melambangkan keseluruhan sifat dalaman seseorang.

Biasanya orang berjiwa seni adalah orang yang berjiwa halus dan sensitif terhadap sesuatu perkara yang berlaku,” katanya yang turut gemar membela haiwan seperti kucing,
arnab, burung dan kura-kura.