javascript:void(0)
PERHATIAN!!! SILA DAPATKAN VCD ATAU CD YANG ORIGINAL!!! BLOG YANG MENGANDUNGI BERITA TENTANG DIKIR BARAT, VIDEO KLIP DIKIR BARAT DAN JUGA LAGU-LAGU DIKIR BARAT

Saturday, October 13, 2012

Persembahan dikir barat terus diminati

Posted by Suaramuda on 4:35 PM


TOK juara Kumpulan Seri Tanjung Kuala, Ramli Mat (kanan) membuat persembahan pada separuh akhir dikir barat kebangsaan 2012 di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
KOTA BHARU 26 Sept. - Dikir barat adalah suatu permainan tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan. Biasanya, ia dipersembahkan di kampung-kampung dan pinggir bandar.
Di Kelantan, cabang seni ini dikenali sebagai dikir barat manakala di selatan Thailand pula ia lebih popular dengan gelaran 'dikir karut', merujuk kepada istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair yang dipersembahkan oleh Tok Juara.
Maka tidak hairanlah seni warisan budaya bangsa ini seakan-akan sudah sebati dan menjadi darah daging kepada sebahagian rakyat di negeri ini sehingga sukar untuk dipisahkan.
Walaupun berada pada zaman serba canggih, namun kesenian dikir barat masih mendapat tempat dan mempunyai pengikutnya yang tersendiri.
Bukan itu sahaja, seni dikir barat yang suatu ketika dahulu hanya popular di sekitar selatan Thailand, Kelantan dan Terengganu mula mendapat perhatian daripada masyarakat luar Kelantan.
Jika sebelum ini persembahan dikir barat hanya dimainkan di kawasan-kawasan kampung, namun hari ini ia turut dimainkan di hotel bertaraf lima bintang serta pada majlis keraian yang dihadiri oleh orang kenamaan.
Sehubungan itu, langkah Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi Radio Malaysia Kelantan FM mengadakan Pertandingan Dikir Barat Peringkat Kebangsaan baru-baru ini adalah tepat bagi memastikan budaya bangsa itu tidak lapuk ditelan zaman.
Program yang memasuki tahun ke-19 itu dilihat berjaya mengangkat martabat kesenian dikir barat yang mula mendapat tempat di kalangan masyarakat luar Kelantan.
Pengarah Penyiaran negeri, Datuk Sayuti Mukhtar memberitahu, penganjuran pertandingan tersebut telah banyak melahirkan bakat-bakat baru dalam kesenian dikir barat tanah air khususnya di Kelantan.
"Selain itu, hasrat kami ialah untuk mempopularkan warisan budaya bangsa agar ia terus segar di kalangan generasi muda pada hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pertandingan separuh akhir dikir barat kebangsaan 2012 di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu (PKB) dekat sini baru-baru ini.
Pada pertandingan tersebut, kombinasi mantap antara Tok Jogho, Tukang Karut dan Awok-awok yang mantap serta menepati tema diberikan membawa tuah kepada dua kumpulan iaitu Seri Tanjung Kuala dari Pantai Sabak, Pengkalan Chepa dan Kumpulan Seri Istana GiatMara Tumpat untuk layak ke peringkat akhir yang dijadual pada November depan.
Kedua-dua kumpulan tersebut menewaskan dua lagi pasukan yang berpengkalan di Lembah Klang iaitu Sunang Detaga, Pantai Hill Park, Kuala Lumpur dan Tabuh Pendeta Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha. Hadir sama, Pengarah Urusan Rancangan Radio RTM, Mohamad Mat Husin.
Seorang peserta pertandingan, Rosli Zakaria ketika ditemui berkata, dia menyambut baik langkah RTM mengadakan pertandingan tersebut.
Menurutnya, selain mencungkil bakat-bakat baru ia juga dapat memastikan seni dikir barat terus hidup subur dalam masyarakat hari ini.
"Harapan saya untuk edisi akan datang agar pihak penganjur dapat membuat penambahbaikan dengan memperhebatkan lagi promosi untuk menarik lebih ramai peminat datang menyaksikan pertandingan tersebut," katanya.
Bagi penggiat seni berkenaan, Mohd. Sulhie Yusof, sudah sampai masanya dikir barat mengalami transformasi di segi irama dan gerak tari agar seni warisan itu tidak lapuk ditelan zaman tanpa menjejaskan elemen asas dikir barat.
"Saya percaya transformasi tersebut mampu menjadikan dikir barat lebih segar dan mampu berdaya saing dengan kesenian yang ada pada hari ini agar dapat dipasarkan ke peringkat global.
"Begitu juga dalam pertandingan dikir barat. Banyak aspek baru perlu dinilai dan dikaji semula seperti kekemasan pakaian, gerak tari awok-awok serta lenggok persembahan Tok Juara," ujarnya.
Sementara itu, seorang peminat dikir barat, Zakaria Abdullah berkata, pendekatan yang dilakukan oleh RTM wajar diberikan pujian kerana ia bakal mempopularkan lagi kesenian tersebut, sekali gus menarik minat golongan muda untuk mempelajarinya.
"Rata-rata peserta yang menyertai pertandingan ini terdiri daripada golongan belia, secara tidak langsung membuktikan golongan berkenaan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kesenian ini.
"Dua pasukan dari Lembah Klang iaitu Sunang Detaga dan Tabuh Pendeta membuktikan kesenian ini sudah melangkah keluar dari negeri ini.
"Jadi usaha-usaha ini perlu dipergiatkan untuk memperkasa kesenian dikir barat ke peringkat lebih tinggi," katanya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan

PENAFIAN: Suaramuda tidak bertanggungjawab langsung terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
  • Facebook
  • Twitter

Search Site

 
  • Rebana Ibu

    Alat-alat dikir barat

  • Rebana Anak

    Kesi

  • Gong

    Tamborin

  • Canang

    Marakas