javascript:void(0)
PERHATIAN!!! SILA DAPATKAN VCD ATAU CD YANG ORIGINAL!!! BLOG YANG MENGANDUNGI BERITA TENTANG DIKIR BARAT, VIDEO KLIP DIKIR BARAT DAN JUGA LAGU-LAGU DIKIR BARAT

Wednesday, July 13, 2011

Titih Pusaka cipta sejarah

Posted by Suaramuda on 10:47 AM

SEJARAH...menjadi kumpulan dikir barat pusat pengajian tinggi pertama bergelar juara kebangsaan.

SEJARAH...menjadi kumpulan dikir barat pusat pengajian tinggi pertama bergelar juara kebangsaan.
BERLATIH...sokongan awak-awak penting ketika persembahan.
BERLATIH...sokongan awak-awak penting ketika persembahan.

DIKIR BARAT adalah satu persembahan negeri Kelantan yang disampaikan secara berkumpulan. Setiap kumpulan biasanya diketuai oleh seorang Tukang Karut dan Juara.

Tukang Karut dan Juara akan mendahului nyanyian sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara kuat dan lantang.


Dikir Barat menjadi satu seni tradisional paling digemari masyarakat Melayu di Kelantan. Ia wujud di kalangan masyarakat biasa di kampung kampung dan pinggir bandar.

Ada sejarah menyatakan seni budaya dikir barat diperkenalkan di Tanah Melayu sekitar 1930-an, dipercayai oleh anak tempatan iaitu Mat Salleh Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Mat Salleh Tape atau Mat Leh Tape.


Gelaran Tape di hujung namanya adalah panggilan mengikut nama sebuah kampung iaitu Tapang, yang terletak di pinggir bandar Kota Bharu di negeri yang terkenal dengan gelaran Cik Siti Wan Kembang atau Serambi Makkah itu.


Kemungkinan juga kebudayaan ini diasaskan beliau di Kampung Tape. Ada teori mengatakan ia dibawa masuk dari Pattani di selatan Siam. Di selatan Siam ia dikenali sebagai dikir karut tetapi disebabkan perkataan karut membawa erti tidak benar, masyarakat Kelantan menukarnya dengan nama dikir barat iaitu merujuk kepada tempat asal dikir itu.

Perkataan berdikir barat datangnya dari dua kombinasi perkataan iaitu Berdikir dan Barat. Berdikir membawa maksud nyanyian beramai-ramai dengan suara nyaring, mengikut rentak tertentu, manakala yang dimaksudkan dengan Barat merujuk kepada empat wilayah di selatan Thailand iaitu Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla.


Persembahan dikir barat menggunakan alat muzik tradisional daripada tetawak (sejenis gong), dua rebana (ibu dan anak), sepasang rumbia (marakas), canang dan kerci.

Sejak mula bertapak dan menjadi antara persembahan hiburan masyarakat di Kelantan, lagu dikir barat paling popular dan kerap berperanan sebagai lagu penutup dalam setiap persembahan dikir barat adalah Wau bulan.


Lagu ciptaan dan nyanyian asal oleh Seman Wau Bulan atau nama sebenarnya Seman Mamat, yang dianggap sebagai lagenda oleh peminat dikir barat bukan saja di Kelantan tetapi juga seluruh Malaysia. Beliau juga anak murid kepada Mat Leh Tape.


Sesudah hampir 70 tahun berkembang hingga pernah satu ketika dilarang persembahannya di negeri yang menjadi tapak seni itu, dikir barat di era terkini menjadi satu cabang kesenian diminati golongan belia dan remaja.


Banyak persatuan, sekolah dan peringkat universiti menubuhkan kumpulan dikir barat yang bukan saja mengadakan persembahan, tetapi juga pertandingan di pelbagai peringkat.


Baru-baru ini, pertandingan Dikir Barat Kebangsaan 2010 sampai ke kemuncaknya dan kumpulan Titih Pusaka dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor dinobatkan sebagai juara menumpaskan kumpulan tersohor dikir barat, Seri Gedombak dari Pasir Puteh, Kelantan.


Kejayaan dalam percubaan sulung itu mencipta sejarah tersendiri dalam pertandingan peringkat tertinggi seni itu apabila kumpulan berkenaan bukan saja menjadi wakil dari pusat pengajian tinggi pertama layak ke pertandingan akhir tetapi lebih membanggakan apabila muncul juara.


Lebih manis apabila kumpulan membabitkan siswa universiti itu turut muncul sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik yang pertama kali diperkenalkan dalam pertandingan berkenaan.


Presiden Kumpulan Dikir Barat Titih Pusaka, Khairul Ramzi Ibrahim berkata, kemenangan besar itu di luar jangkaan kerana lawan mereka adalah kumpulan yang ada nama dalam persembahan dikir barat.


Menurutnya, kumpulan Seri Gedombak beberapa kali menang di peringkat kebangsaan dan keupayaan mengatasi pasukan berpengalaman itu sungguh membanggakan.


Bercerita mengenai latar belakang Titih Pusaka, dia berkata, kumpulan berkenaan ditubuhkan secara rasmi pada Januari tahun ini hasil kata sepakat penggemar kesenian tradisional di UiTM.


"Sebelum ini kami ada sebuah kumpulan dikir barat dikenali sebagai kumpulan Kolej Perindu, tetapi kerana mahu menjadikannya lebih tersusun, Titih Pusaka ditubuhkan.


"Ketika ini kami mempunyai kira-kira 30 ahli, termasuk bekas siswazah UiTM yang masih memberi sokongan dengan menyertai persembahan," katanya.


Mohd Nafais Rosli yang juga Naib Presiden Titih Pusaka pula berkata, di awal penubuhan kumpulan berkenaan memang semuanya anak Kelantan tetapi selepas hampir setahun ada rakan dari Kedah, Negeri Sembilan dan Sabah turut menyertainya.


Menurutnya, disebabkan ahli kumpulan merangkumi siswa universiti berkenaan dan ada kemungkinan tidak dapat lagi bersama selepas menamatkan pelajaran, barisan pelapis juga dilatih untuk menampung ketiadaan kumpulan utama nanti.


"Kita tidak mahu kumpulan ini berkubur, tambahan pula kami berjaya tampil sebagai kumpulan dikir barat yang mula dikenali ramai ketika ini," katanya.


Bagi Adzuwan Aziz yang juga siswa Sarjana Muda Sains Sukan dan Rekreasi, kesungguhan setiap ahli menjadi kunci kepada kejayaan walaupun baru setahun jagung ditubuhkan.


Menurutnya, latihan tanpa mengenal erti penat lelah, terutama ketika hampir kepada pertandingan akhir, nyata membuahkan hasil kepada kumpulannya.


"Kejayaan ini menjadi batu loncatan kepada Titih Pusaka untuk terus membawa kesenian dikir barat dan menjadi impian kepada kami memperkenalkannya kepada luar negara," katanya yang mula mendapat pendedahan dikir barat bersama bapa saudaranya di Kampung Sabak, Kota Bharu, Kelantan.




>INFO
> Titih Pusaka menjadi kumpulan pertama dari pusat pengajian tinggi layak ke peringkat akhir Pertandingan Dikir Barat Kebangsaan 2010
> Ditubuhkan pada awal 2010
> Sebelum ini dikenali sebagai Kumpulan Dikir Barat Kolej Perindu


>PROFIL
NAMA: Khairul Ramzi Ibrahim
UMUR: 28 tahun
LAHIR: 16 Oktober 1982 di Kampung Tebing Tinggi, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Pembinaan (Pengurusan)
PENCAPAIAN: Presiden Kumpulan Dikir Barat Titih Pusaka; Johan Pertandingan Dikir Barat Terbuka Lembah Klang (2010), Naib Johan Pertandingan Dikir Barat Belia Kebangsaan (2010) dan Juara Pertandingan Akhir Dikir Barat RTM Kebangsaan (2010)

>PROFIL
NAMA: Adzuwan Aziz
UMUR: 24 tahun
LAHIR: 5 Ogos 1986 di Kampung Sabak, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Sains Sukan dan Rekreasi
PENCAPAIAN: Juara Pertandingan Akhir Dikir Barat RTM Kebangsaan (2010)

>PROFIL
NAMA: Mohd Nafais Rosli
UMUR: 23 tahun
LAHIR: 25 Jun 1987 di Kampung Padang Salim, Bachok, Kelantan
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Elektrik Elektronik (Kejuruteraan)
PENCAPAIAN: Juara Pertandingan Akhir Dikir Barat RTM Kebangsaan (2010)

1 comments:

pertandingan dikir barat terbuka mpsj pada 12hb feb 2012. bertempat di sunway pyramid jam 2pm. hadiah 2k,1k, 5rat. utk maklumat lanjut hubungi azlan 0193124731

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan

PENAFIAN: Suaramuda tidak bertanggungjawab langsung terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
  • Facebook
  • Twitter

Search Site

 
  • Rebana Ibu

    Alat-alat dikir barat

  • Rebana Anak

    Kesi

  • Gong

    Tamborin

  • Canang

    Marakas