|
SIAPA sangka dikir barat yang popular di negeri Cik Siti Wan Kembang mampu menggegarkan Panggung Sari, Istana Budaya sempena Kuala Lumpur Festival (KL Festival) yang berlangsung pada tanggal 1 hingga 2 Julai lalu.
Teriakan dan sokongan para peminat yang turut sama mengikut rentak lagu dan tepukan oleh 500 awak-awak ternyata menggegarkan Panggung Sari. Kumpulan awak-awak adalah mereka yang menyanyi mengikut nyanyian tukang karut atau tok juara sambil bertepuk tangan dengan pelbagai.
Awak-awak juga disusun mengikut warna bendera Jalur Gemilang yang pasti memberikan semangat kecintaan terhadap negara melalui muzik yang disampaikan. Ia diketuai oleh seorang konduktor sebagai panduan kepada mereka sepanjang persembahan selama dua jam itu.
“Selaku anak jati Kelantan, saya berbangga dengan pembaharuan dikir barat yang dibawa secara moden dan usaha menaikkan martabat dikir barat hingga ke Istana Budaya,” kata Luqman Hakim Anuar Zaki, 22, selepas menonton konsert Ekstravaganza Dikir: Segalanya Dikir! pada malam terakhir konsert tersebut.
Beliau ternyata sangat gembira dengan pembaharuan yang diterapkan dalam muzik tradisional dan berharap kaedah yang digunakan dalam konsert tersebut dibawa ke negeri Kelantan pada masa akan datang.
Walaupun Panggung Sari pada malam konsert tersebut dipenuhi oleh warga kota, lagu hit Anak Tupai dendangan penyanyi tersohor kebanggaan rakyat negeri Kelantan, Halim Yazid bagaikan tidak asing bagi mereka. Ramai yang turut menyanyikan setiap bait lagu tersebut.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli, pemilihan dikir barat yang diangkat sebagai konsert utama sempena KL Festival 2012 adalah untuk memberi kelainan kepada penganjuran festival.
Malah, pihaknya tidak mahu melihat sesetengah orang memberi persepsi dikir barat hanya persembahan tempelan.
“Ekstravaganza Dikir: Segalanya Dikir! merupakan konsert dikir barat pertama yang dianjurkan dengan skala yang besar. Ia juga mampu mengembalikan muzik tradisional ke arus perdana.
“Penganjuran festival ini juga menunjukkan dikir barat boleh digabungkan dengan muzik moden dan mampu untuk mengeratkan perpaduan kaum melalui kombinasi penyanyi-penyanyi yang terlibat,” ujarnya yang juga bercadang mahu mengenengahkan dikir barat ke negeri-negeri lain.
Dengan tema Dari Desa ke Istana, festival tersebut mengajak golongan bandar untuk menyaksikan sendiri persembahan tradisional yang popular di pentas berprestij dengan mempertaruhkan barisan artis-artis popular tanah air.
Antara artis yang mengadakan persembahan termasuklah Halim Yazid, Jen Enduro, Fendi Kenali, Roy Kapila, Noraniza Idris, Bob AF, Shrutti, Eyo Hock Seng, Dennis Lau, Danial Lee dan Jimmy Palikat.
Tidak ketinggalan Ito Blues Gang, Poe, Sesastre, Wakaka Crew, Ziana Zain, Hazama, Awie, Alif Satar, Jamal Abdillah dan Lan Typewriter.
Konsert tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon dan pelawak terkenal Sabri Yunus yang diberi tanggungjawab selaku pengacara majlis dan tukang karut.
Menggabungkan irama blues, reggae, rock, indie dan hip hop dalam muzik dikir barat, Ekstravaganza Dikir tidak meminggirkan elemen penting dikir barat sepanjang dua hari persembahan konsert tersebut.
Pendapat Norliza turut disokong oleh penyanyi veteran irama reggae, Poe yang masih mempertahan irama reggae yang dibawanya sejak 30 tahun lalu.
Jelasnya, muzik dikir barat mampu dibawa ke pentas antarabangsa dan penganjuran Ekstravaganza Dikir: Segalanya Dikir! juga akan membuka mata peminat dan penggiat seni tanah air mengenai kemampuan dikir barat yang boleh digabungkan dengan irama muzik yang lain.
“Penglibatan saya dalam festival ini secara tidak langsung telah memberi idea baharu kepada saya untuk menghasilkan irama reggae stail yang baharu dengan menggabung irama reggae dan dikir barat untuk karya saya untuk masa akan datang,“ ujarnya.
0 comments:
Post a Comment