berita tahun 2006 mstar online
KOTA BAHARU: Tujuh penggiat seni dikir barat Kelantan menerima hadiah berupa wang tunai, pingat dan sijil penghargaan daripada kerajaan negeri di sini, malam tadi.
Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyampaikan hadiah-hadiah itu pada satu majlis makan malam.
Dalam ucapannya pada majlis itu Nik Aziz berkata Kelantan tidak pernah mengharamkan persembahan tradisional termasuk dikir barat, sebaliknya meminta penggiat seni mengubah sedikit cara persembahan yang dianggap tidak sesuai dengan dengan Islam.
Beliau berkata Islam sentiasa menghargai seni dan membolehkan kegiatan itu diadakan, tertakluk kepada keadaan serta suasana tertentu selagi ia tidak bertentangan dengan agama.
"Kita di Kelantan tidak tutup, kita cuma ubah sedikit cara bagi menyesuaikan persembahan dengan kehendak Islam. Begitu juga dengan tilawah al-Quran yang membabitkan kaum wanita, kita tidak beri. Tetapi kita benarkan bagi kaum lelaki, jadi kita tak tutup (hentikan), kita cuma ubah sikit," katanya.
Tiga penggiat seni dikir barat yang terdiri daripada Yusof Hussin atau Jusoh Kelang, 67, Daud Che Mat atau nama gelarannya Jusoh Bukit Abal, 66, dan Abdullah Che Man atau Pak Nik Lah Tok Deh, 52, dinobatkan sebagai Tokoh Dikir Barat 2006, dan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,000, pingat serta sijil penghargaan.
Nordin Yusof atau Megat Nordin pula dipilih sebagai Tokjora Paling Popular, manakala Sulizi Che Awang atau Cikgu Sulizi sebagai Tukang Karut Paling Popular, dan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,500, pingat dan sijil penghargaan.
Kategori Tokjora Berpotensi Popular 2006 pula diberikan kepada Ismail Che Seman atau Mail Anak Kala, dan Tukang Karut Berpotensi Popular 2006 kepada Mat bin Ngah, atau Mamat Keretapi. Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000, pingat dan sijil penghargaan.
Nordin yang ditemui selepas majlis itu berkata inilah julung-julung kali beliau menerima sumbangan kerajaan negeri sebagai mengenang jasanya dalam menggiatkan seni kebudayaan tradisional itu.
"Sejak lebih 20 tahun terlibat dengan dikir barat, inilah kali pertama saya diberi hadiah oleh kerajaan, saya ucapkan terima kasih," katanya. BERNAMA
0 comments:
Post a Comment