|
|
MESKIPUN muzik moden lebih mencuri pandangan masyarakat, namun irama tradisional seperti dikir barat tidak pernah disisihkan.
Lebih sinonim sebagai satu bentuk hiburan kepada masyarakat di negeri Kelantan, hakikatnya dikir barat tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.
Disampaikan dengan penuh harmoni serta lenggok dan gaya bahasa sendiri, ia mewujudkan satu keindahan dalam seni budaya masyarakat Melayu.
Kebiasaannya mesej atau kisah sesebuah cerita dijadikan lirik kepada irama tersebut. Menyedari keunikan irama dikir barat yang begitu popular di negara ini sehingga menarik minat dua pelajar antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk mempelajari seni budaya masyarakat Melayu negeri Kelantan itu.
Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Takwa dari Gambia, Abu Bacarr Saho, 24, minat untuk mempelajari dikir barat timbul apabila melihat persembahan itu yang membangkitkan rasa kemuafakatan serta semangat muhibah di kalangan ahli-ahli dikir barat.
"Setiap persembahannya menggabungkan aksi keseragaman tari sambil duduk yang mengujakan sehingga menarik minat saya untuk menyertai Unit Kebudayaan Dikir Barat Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM.
"Minat terhadap seni itu membuatkan diri saya ingin mencuba dan menguasai dikir barat, peluang yang diberikan USIM kepada pelajar luar negara amat dihargai dalam memahami aspek pengurusan dalam budaya masyarakat Melayu," katanya.
Abu Bacarr berkata, dari sudut konteks pembelajaran pula dia mahu dikir barat dibawa dan diajar kepada rakan-rakan yang lain.
"Inisiatif ini secara langsung dapat mempopularkan irama tradisional ini ke Gambia dengan menyelit bahasa Gambia menggantikan lirik lagu yang asal," katanya.
Rakannya, pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi dari Nigeria, Ibrahim Adesola Yusuf, 22, berkata, dia begitu teruja apabila berpeluang mempelajari dikir barat yang begitu sinonim dengan budaya Melayu.
"Kesan persembahan dikir barat berjaya menyuntik rasa persahabatan dalam diri saya untuk bersama-sama mempelajari tarian tersebut.
"Saya amat beruntung kerana diberi peluang untuk menyertai pasukan dikir barat USIM yang menjadi asas dalam memartabatkan seni budaya itu.
"Penubuhan pasukan dikir barat di peringkat kampus menjadi satu platform kepada mahasiswa mengisi masa terluang dengan aktiviti berfaedah, " katanya
Menurut Ibrahim, rakyat negara ini perlu mempertahankan budaya warisan dikir barat kerana ia menjadi jati diri masyarakat Malaysia.
0 comments:
Post a Comment